Abdurrahman bin Auf ditawarkan isteri dan harta

Abdurrahman bin Auf radhiallahu ‘anhu adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dari penduduk Makkah yakni kaum Muhajirin yang mengikuti Rasulullah berhijrah ke Madinah. Dia adalah salah seorang yang terawal memeluk agama Islam dan yang terkenal dengan banyak hartanya.

Abdurrahman bin Auf adalah salah seorang yang disebut nama oleh Khalifah Umar Al-Khattab menjelang kewafatannya untuk mengganti tempatnya. Umar Al-Khattab berkata:

“Barangsiapa yang menggantikan aku setelahku dialah khalifah, wajib dengar dan taatlah padanya.” Lalu dia menyebut nama Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah, Az-Zubair, Abdurrahman bin Auf dan Saad bin Abi Waqqas.” (Sahih Bukhari, no. 1305)


Abdurrahman bin Auf juga adalah salah seorang sahabat Nabi yang telah disebutkan sebagai ahli syurga. Diriwayatkan oleh Said bin Zaid (salah seorang sahabat), dia berkata:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa aku mendengar beliau bersabda: “Ada sepuluh orang (akan) masuk syurga (tanpa hisab). Aku berada di syurga, Abu Bakar berada di syurga, Umar berada di syurga, Uthman berada di syurga, Ali bin Abi Talib berada di syurga, Talhah berada di syurga, Az-Zubair Ibnul Awwam berada di syurga, Sa’ad bin Malik berada di syurga, Abdurrahman bin Auf berada di syurga.” Said bin Zaid berkata: “Dan jika aku mahu maka akan aku sebutkan yang kesepuluh.” Orang-orang lalu bertanya: “Siapa orangnya?” Sa’id diam. Orang-orang bertanya lagi: “Siapa orangnya?” Sa’id menjawab: “Dia adalah Sa’id bin Zaid (dirinya).” (Sunan Abu Daud, no. 4031, Sunan At-Tirmidzi, no. 3681)

Sewaktu Abdurrahman bin Auf radhiallahu ‘anhu berhijrah dengan kaum Muhajirin ke Madinah, dia bercerita:

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mempersaudarakan antara aku dengan Sa’ad bin ar-Rabi, lalu Sa’ad bin ar-Rabi berkata: “Aku adalah orang Ansar yang paling banyak hartanya, maka aku beri separuh hartaku untukmu, kemudian lihatlah di antara kedua isteriku siapa yang engkau suka nanti akan aku ceraikan untukmu, jika dia telah halal maka nikahilah.”

Maka aku berkata kepadanya: “Aku tidak memerlukan itu. Begini saja, apakah ada pasar yang sedang berlangsung transaksi jual beli saat ini?” Sa’ad menjawab: “Ada. Pasar Qainuqa’.” Lalu aku pergi ke sana, aku membawa keju dan minyak samin (berniaga). Aku melakukan hal itu pada hari-hari berikutnya. Aku tetap berdagang di sana hingga akhirnya aku dapat mengenakan pakaian yang bagus dan penuh aroma wangian.

Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah engkau sudah menikah?” Aku menjawab: “Ya, sudah.” Lalu beliau bertanya lagi: “Dengan siapa?” Aku menjawab: “Dengan seorang wanita Ansar.” Beliau bertanya lagi: “Dengan mahar apa engkau melakukan akad nikah?” Aku menjawab: “Dengan perhiasan sebiji emas, atau sebiji emas.” Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakanlah walimah walau hanya dengan seekor kambing.”

(Sahih Bukhari, no. 1907, Sunan An-Nasa’i, no. 3335, Musnad Ahmad, no. 12649)

Begitu tawadhu’nya sifat yang ada pada Abdurrahman bin Auf, tidak mengharapkan harta dan tidak mahu mengambil isteri orang lain walau ditawarkan kepadanya. Namun terus berusaha mencari sendiri harta dengan berniaga hingga selepas beberapa hari dapat menikahi wanita yang lain dengan usahanya. Juga tidak dilupakan Sa’ad bin ar-Rabi yang memiliki sifat pemurah yang sanggup berkongsi hartanya dan menawarkan salah seorang isterinya kepada saudara seagama yang baru dikenalinya. Masihkah ada orang bersifat seperti Abdurrahman bin Auf dan Sa’ad bin ar-Rabi kini? Semoga ada lagi hendaknya, insyaAllah.

Lalu tersebut pula kisah Abdurrahman bin Auf memasuki syurga dengan cara merangkak. Namun hadith ini telah disahkan dusta dan mungkar oleh ulama’.

Ketika Aisyah radhiallahu ‘anha berada di rumahnya, tiba-tiba dia mendengar suara di Madinah, dia berkata: “Ada apa ini?” Orang-orang berkata: “Rombongan dagang Abdurrahman bin Auf yang datang dari Syam dia membawa apa saja. Ia berupa tujuh ratus ekor unta, hingga Madinah bergegar kerana suara gemuruh.” Maka Aisyah berkata: “Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sungguh saya melihat Abdurrahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak”, lalu hal itu sampai kepada Abdurrahman bin Auf hingga dia berkata: “Jika saya boleh, saya ingin masuk syurga dengan berdiri.” Selanjutnya dia menyumbangkan seluruh unta dan barang bawaannya di jalan Allah ‘Azza Wa Jalla.” (Musnad Ahmad, no. 23698)

Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Hadith ini dusta dan mungkar. Umarah bin Zadzan (salah seorang perwai hadith) tidak boleh dijadikan hujah.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*