Al-Hasan bin Ali: Kecintaan para wanita & kewafatannya

Abu Muhammad Al-Hasan bin Ali radhiallahu ‘anhuma ialah putera sulung dari pasangan Ali bin Abi Talib dan Fatimah binti Rasulullah. Beliau dilahirkan pada bulan Ramadhan tahun ke 3 Hijrah menurut kebanyakan para ulama’ sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari (Juz VII, m/s 464).
hagia-sophia

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memasukkan lidahnya ke dalam mulut Al-Hasan dan bersabda: “Ya Allah sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah dia dan cintailah siapa saja yang mencintainya”, beliau ucapkan itu hingga tiga kali. (Musnad Ahmad, no. 10471)

Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Al-Hasan adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dari bahagian dada hingga kepala, sedangkan Al-Husain adalah orang yang paling mirip dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dari bahagian dada hingga ke bawah dari itu.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3712, hasan sahih gharib, Musnad Ahmad, no. 735, no. 812)

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar, ketika itu Al-Hasan ada disamping beliau. Sesekali beliau melihat ke arah orang banyak dan sesekali melihat kepadanya lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah Sayyid (pemimpin) dan dengan perantaraan Allah akan mendamaikan dua kelompok besar kaum Muslimin.” (Sahih Bukhari, no. 3357, no. 3463)

KEMULIAAN KETURUNAN YANG DIINGINKAN PARA WANITA DARI AL-HASAN BIN ALI

Diriwayatkan bahawa Al-Hasan bin Ali banyak kali bernikah. Disebutkan bahawa beliau sentiasa disertai oleh empat orang isteri hampir setiap ketika. Beliau gemar berkahwin dan bercerai. Bahkan ada yang mengatakan bahawa beliau telah menikahi tujuh puluh orang wanita. Mereka juga menyebutkan bahawa beliau mentalak dua isteri dalam sehari, seorang dari Bani Asad dan seorang dari suku Fazariyyah. Lalu beliau mengirim hadiah kepada keduanya masing-masing sebanyak sepuluh ribu dirham dan satu bekas besar madu.

Beliau berkata kepada pelayan: “Cuba dengarkan apa kata mereka berdua!” Adapun wanita dari suku Fazariyyah mengatakan: “Semoga Allah Taala membalasnya dengan kebaikan.” Lalu dia mendoakan kebaikan untuk Al-Hasan bin Ali. Adapun wanita dari Bani Asad mengatakan: “Hadiah yang sedikit dari kekasih yang pergi.” Pelayan itu menyampaikan apa yang didengarnya kepada Al-Hasan. Lalu beliau rujuk kembali kepada wanita Bani Asad dan meninggalkan wanita Fazariyyah.

Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anhu mengatakan kepada penduduk Kufah: “Janganlah menikahi dia (Al-Hasan), kerana dia suka mentalak isteri.” Mereka berkata: “Demi Allah, wahai Amirul Mukminin, sekiranya beliau datang meminang kepada kami setiap hari nescaya akan kami nikahkan dia kepada wanita yang dia sukai kerana keinginan kami mendapat hubungan keluarga dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Tarikh Dimasyqi, 13/249 dan Thabaqat Ibnu Sa’ad, 1/300-302)

Disebutkan sebuah kisah bahawasanya Al-Hasan bin Ali tidur bersama isteri beliau bernama Khaulah binti Manzhur al-Fazariy (ada yang mengatakan Hindun binti Suhail) di atas atap rumah mereka yang tidak berpagar. Si isteri bangun dan mengikat kaki beliau dengan kerudungnya kepada gelang kakinya. Ketika beliau bangun beliau berkata: “Ada apa ini?” Isterinya menjawab: “Aku khuatir engkau bangun dari tidur lalu engkau jatuh dari atap sehingga aku menjadi wanita yang paling tercela di kalangan masyarakat Arab.” Al-Hasan takjub mendengar percakapannya itu dan meneruskan malam-malam berikutnya bersamanya selama tujuh malam. (Tarikh Dimasyqi, 13/248-249 dan Thabaqat Ibnu Sa’ad, 1/302)

Rujukan: Kitab Al-Bidayah Wan-Nihayah, Masa Khulafa’ur Rasyidin, oleh Ibnu Katsir, m/s 547-548
Nota: Menurut Ustaz Azhar Idrus: “Kata sesetengah ulama’ hadith, sanadnya lemah.”

KEWAFATAN AL-HASAN BIN ALI

Al-Waqidi berkata, Abdullah bin Ja’far telah menceritakan kepadaku dari Abdullah bin Hasan ia berkata: “Al-Hasan bin Ali adalah seorang yang banyak sekali menikahi wanita. Dan sangat sedikit dari mereka yang istimewa di sisinya. Setiap wanita yang menikahi beliau pasti mencintai beliau dan menikmati hidup dengan beliau.”

Disebutkan bahawa beliau diberi minum kemudian beliau pengsan, kemudian beliau diberi minum lagi, beliau kembali pengsan hingga pada akhirnya beliau wafat. Menjelang kewafatan beliau, seorang tabib terus memantau perkembangan kesihatannya berkata: “Orang ini telah diputus-putus ususnya oleh racun.”

Al-Husain (adiknya) berkata: “Wahai Abu Muhammad (Al-Hasan), katakan padaku siapakah yang menmberimu minum?” “Mengapa wahai saudaraku?” tanya Al-Hasan. Al-Husain menjawab: “Demi Allah, aku akan membunuhnya sebelum aku menguburkan jenazahmu, atau aku tidak mampu menjumpainya atau dia berada di suatu tempat maka aku akan berusaha menemuinya!” Al-Hasan berkata” “Wahai saudaraku, dunia ini hanyalah malam-malam yang fana, biarkanlah dia hingga kelak aku dan dia bertemu di hadapan Allah.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad dalam Thabaqatnya, 1/334 dan Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyqi, 13/283 dari jalur Al-Waqidi)

Sufyan bin Uyainah meriwayatkan dari Raqabah bin Mashqalah, dia berkata: “Ketika Al-Hasan bin Ali menjelang wafat dia berkata: “Keluarkanlah aku ke halaman agar aku dapat melihat langit yang luas.” Mereka pun mengeluarkan tempat tidurnya. Beliau mengangkat kepalanya kemudian berkata: “Ya Allah, aku mengikhlaskan jiwaku berada di sisi-Mu, kerana jiwaku adalah yang paling berharga bagiku.”
Dan salah satu ketetapan Allah Taala bagi dirinya adalah beliau mengikhlaskan dirinya berada di sisi-Nya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyqi, 13/285 dari jalur Sufyan bin Uyainah)

Al-Waqidi berkata: Ibrahim bin Fadhal telah menyampaikan kepada kami dari Abu Atiq, dia berkata: Aku mendengar Jabir bin Abdullah berkata: “Kami datang menjenguk Al-Hasan di hari beliau wafat. Ketika itu pergaduhan hampir saja terjadi antara Al-Husain bin Ali dan Marwan bin Al-Hakam. Al-Hasan telah mewasiatkan kepada saudaranya agar dikebumikan bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika dikhuatirkan akan menimbulkan pertumpahan darah dan kekacauan hendaklah jenazahnya dikebumikan di Baqi’ sahaja. Akan tetapi Marwan tidak mengizinkan Al-Husain menguburkannya bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Pada ketika itu Marwan telah dipecat dari jawatannya. Dia melakukan itu untuk mencari muka kepada Mu’awiyah.”

Jabir berkata: “Aku berbicara kepada Al-Husain bin Ali, aku katakan kepadanya: ‘Wahai Abu Abdillah, bertakwalah kepada Allah Taala, sesungguhnya saudaramu tidak ingin kekacauan ini terjadi. Kebumikanlah jenazahnya di perkuburan Baqi’ bersama ibunya.’ Maka Al-Husain pun melakukannya’.”

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Al-Hasan mengutus seseorang untuk meminta izin kepada Ummul Mukminin Aisyah agar jenazahnya dikebumikan di kamar bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Aisyah radhiallahu ‘anha mengizinkannya. Ketika Al-Hasan wafat, terjadi kekacauan. Al-Husain mengenakan senjatanya sementara Bani Umayyah juga menyiapkan senjata mereka. Mereka berkata: “Kami tidak akan membiarkannya dikebumikan bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Apakah dia dikuburkan di kamar bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sementara Uthman dikuburkan di Baqi?” (Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad dalam Thabaqatnya, 1/346 dan Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyqi, 4/540 dari jalur Ibnu Sa’ad)

Ketika khuatir kekacauan itu akan menimbulkan pertumpahan darah, maka Sa’ad bin Abi Waqas, Abu Hurairah, Jabir dan Ibnu Umar menyarankan kepada Al-Husain agar tidak berperang. Dia pun mengikuti saranan tersebut lalu menguburkan saudaranya dekat kubur ibunya di Baqi’.” (Tarikh Dimasyqi, 13/289 dan 293)

Sufyan bin Uyainah meriwayatkan dari Salim bin Abi Hafsah dari Abu Hazim dia berkata: “Aku melihat Al-Husain bin Ali menpersilakan Sa’id bin Al-Ash (Amir Madinah) untuk mensolatkan jenazah Al-Hasan (yakni memimpin solat jenazah).” Beliau (Al-Husain) berkata: “Sekiranya hal itu bukanlah sunnah Nabi nescaya aku tidak akan mempersilakannya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad dalam Thabaqatnya, 1/348 dan Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra, 4/28)

Muhammad bin Ishaq berkata: Musawir maula Bani Sa’ad bin Bakar menyampaikan kepadaku, dia berkata: “Aku melihat Abu Hurairah berdiri di masjid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada hari wafatnya Al-Hasan bin Ali, beliau berteriak dengan suara kuat: “Wahai sekalian manusia, pada hari ini telah wafat kekasih Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tangisilah pemergiannya.” Manusia berkumpul mengiring jenazahnya hingga perkuburan Baqi’ penuh sesak dengan para pengiring. Lelaki, wanita hingga anak-anak menangisi pemergian beliau.” (Tarikh Dimasyqi, 13/295 dari jalur Ibnu Ishaq)

Ibnu Ulayyah meriwayatkan dari Ja’far bin Muhammad dari ayahnya: “Al-Hasan wafat dalam usia empat puluh tujuh tahun. Demikianlah yang dikatakan oleh sejumlah orang dan itulah yang benar. Menurut perkataan yang masyhur beliau wafat pada tahun 49 Hijrah, sementara yang lain mengatakan wafat pada tahun 50 Hijrah.” (Tarikh Dimasyqi, 13/299 dan 302)

Rujukan: Kitab Al-Bidayah Wan-Nihayah, Masa Khulafa’ur Rasyidin, oleh Ibnu Katsir, m/s 550-552

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*