Hadis: Kewafatan Rasulullah

makam2Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Saya menulis hadis-hadis di bawah dengan turutan mengenai kewafatan Sayyidina Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang dicintai seluruh alam. Mungkin ada juga hadis yang belum ditemui oleh saya selain apa yang tercatat di sini. Jika ada sesiapa yang mempunyainya, sila letakkan di bahagian komentar.

 

 

1. Dari Abu Sa’id Al Khudri bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam duduk di atas mimbar, beliau bersabda: “Sesungguhnya Allah menawarkan pada hamba-Nya antara perhiasan dunia sesuai yang ia kehendaki dan apa yang ada di sisi-Nya, namun hamba itu memilih apa yang ada di sisi-Nya.” Maka Abu Bakar berkata: “Bahkan kami akan menebus anda dengan bapa-bapa kami dan anak-anak kami wahai Rasulullah.” Abu Sa’id berkata: “Kami pun kehairanan.” Lantas orang-orang (para sahabat) berkata: “Lihatlah kepada syaikh (orang tua yakni Abu Bakar) ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan tentang seorang hamba yang disuruh memilih antara diberi perhiasan dunia sekehendak hatinya dengan apa yang ada di sisi-Nya, jesteru dia berkata: ‘Bahkan kami akan menebus anda dengan bapa-bapa kami dan anak-anak kami’.” Abu Sa’id berkata: “Padahal Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah hamba yang diberi pilihan tersebut, sedangkan Abu Bakar adalah orang (pertama) yang lebih mengetahui hal itu. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik orang terhadapku dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, jika saja aku boleh menjadikan kekasih selain Allah, nescaya akan aku jadikan Abu Bakar sebagai kekasihku, namun persaudaraan Islam (sebagai kecintaan), tidaklah tersisa seberkas cahaya di dalam masjid kecuali melainkan cahaya Abu Bakar.” (Sahih Bukhari, no. 446, Sunan At-Tirmidzi, no. 3593, hasan sahih)

2. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Suruhlah Abu Bakar menjadi (imam solat) dengan orang-orang.” Maka Aisyah berkata; “Wahai Rasulullah sesungguhnya apabila Abu Bakar mengimami manusia, mereka tidak akan mendengar (ucapannya) kerana tangisannya, oleh kerana itu, suruhlah Umar untuk mengimami manusia.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami manusia.” Aisyah berkata: “Maka aku berkata kepada Hafsah: “Katakan pada beliau, sesungguhnya apabila Abu Bakar mengimami manusia, mereka tidak akan mendengarnya kerana tangisannya, maka suruhlah Umar untuk mengimami manusia.” Lalu Hafsah pun melaksanakannya, namun Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya kalian seperti sahabat Yusuf (suka mengingkari), suruhlah Abu Bakar untuk mengimami manusia.” Lalu Hafsah berkata kepada Aisyah: “Sungguh aku tidak mendapatkan kebaikan sedikit pun darimu.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3605, hasan sahih)

3. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha: “Ketika sakit Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam semakin parah, Bilal datang menemui beliau mengkhabarkan bahawa waktu solat telah tiba. Beliau lalu bersabda: “Kalian suruhlah Abu Bakar untuk memimpin solat jemaah bersama orang banyak.” Kemudian ketika Abu Bakar sudah memulai solat, tak lama kemudian tubuh beliau telah rasa segar, beliau pun keluar rumah dengan diapit oleh dua orang laki-laki. Dan seolah-olah aku melihat beliau berjalan dengan menyeret kakinya di atas tanah, hingga masuk ke dalam masjid. Tatkala Abu Bakar mendengar kedatangan beliau maka dia pun berkeinginan untuk mundur. Namun Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberi isyarat kepadanya. Lalu tibalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam hingga beliau duduk di samping kiri Abu Bakar. Abu Bakar solat dengan berdiri sedangkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam solat dengan duduk, Abu Bakar solat mengikuti solatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dan orang-orang mengikuti solatnya Abu Bakar.” (Sahih Bukhari, no. 672)

4. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan Abu Bakar untuk memimpin solat jemaah bersama orang-orang ketika beliau sakit. Maka Abu Bakar pun memimpin solat mereka. Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam merasakan ringan pada tubuhnya, beliau pun keluar sementara Abu Bakar sedang mengimami orang-orang solat. Ketika Abu Bakar melihat beliau datang, dia pun berkeinginan untuk mundur. Tetapi beliau memberi isyarat kepadanya (dengan katanya): “Tetaplah kamu pada posisimu.” Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam duduk di samping Abu Bakar, sehingga dia solat mengikuti solat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang mengikuti solatnya Abu Bakar.” (Sahih Bukhari, no. 642)

5. Dari Anas bin Malik bahawa Abu Bakar solat mengimami mereka pada waktu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sakit yang akan mewafatkannya, hingga ketika hari Isnin, sedangkan mereka berbaris dalam solat, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membuka tirai kamar, lalu melihat kepada kami dalam keadaan berdiri, seakan-akan wajah beliau adalah lembaran mushaf (putih cemerlang), kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tersenyum tertawa. Maka kami tercengang bingung, dan kami berada dalam solat kerana bahagia dengan keluarnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Abu Bakar mundur kembali untuk mencapai saf (barisan belakang), dan dia menduga bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar untuk solat. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberi isyarat kepada mereka dengan tangannya untuk menyempurnakan solat mereka. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masuk, lalu menurunkan tirai tersebut. Dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam wafat pada hari tersebut.” Anas bin Malik berkata: “Pandangan terakhir aku melihat pada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah ketika beliau membuka tabir pada hari Isnin dengan kisah ini.” (Sahih Muslim, no. 636)

6. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha dia berkata: “Pada saat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sakit, maka Fatimah datang menjenguk dan menemui beliau lalu dia merebahkan kepalanya (di dada beliau) dan menciumnya, kemudian Fatimah mengangkat kepalanya sambil menangis, lalu dia merebahkan kepalanya di dada beliau (yang kedua kali), dan mengangkatnya kembali sambil tertawa, maka kataku (dalam hati): “Sungguh saya telah mengira bahawa Fatimah adalah orang yang paling kuat (teguh ketabahannya) di antara wanita-wanita kami namun ternyata dia juga boleh seperti wanita-wanita lainnya (yakni boleh sedih dan menangis).” Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat, maka saya berkata kepada Fatimah: “Tahukan kamu ketika kamu menyandarkan kepalamu kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lalu kamu mengangkatnya sambil menangis, setelah itu kamu menyandarkan kepalamu (yang kedua kalinya) lalu mengangkatnya sambil tertawa, apa yang membuatmu seperti itu?” Fatimah menjawab: “Sesungguhnya (waktu itu) saya mendapatkan khabar rahsia, beliau memberitahukan kepadaku, bahawa beliau akan segera meninggal dunia kerana sakit yang dideritanya, maka saya menangis, kemudian beliau juga memberitahukan kepadaku bahawa aku adalah salah seorang dari anggota keluarganya yang pertama kali menyusul beliau (meninggal dunia), kerana itulah saya tersenyum.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3807, hasan)

7. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawa ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersandar di dadaku, Abdurrahman bin Abu Bakar masuk ke rumah sambil membawa kayu siwak yang biasa dia pakai. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun melihat kepadanya. Aku berkata kepadanya: “Berikan siwak itu kepadaku wahai Abdurrahman!” Lalu dia memberikannya kepadaku. Kemudian aku bersihkan, dan aku kunyah (lembutkan) setelah itu aku berikan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau pun bersiwak dengannya. Aku tidak pernah melihat sebelumnya beliau bersiwak sebaik itu. Setelah selesai, beliau mengangkat tangannya, atau jarinya seraya berkata: ‘Arrafiiqul A’laa, Arrafiiqul A’laa (Wahai Allah, Kekasihku Yang Maha Tinggi, wahai Allah, Kekasihku Yang Maha Tinggi) sebanyak tiga kali. Lalu beliau wafat. Aisyah berkata: “Beliau wafat di antara dagu dan tenggorokanku.” (Sahih Bukhari, no. 4084)

8. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, dia berkata: “Rasulullah shalallahu’alaihi wasallam meninggal di rumahku, pada hariku dan berada antara dada dan kerongkonganku.” Salah seorang dari kami membacakan doa untuknya dengan doa yang biasa dibacakan untuk orang sakit. Aku pun ikut mendoakannya. Kemudian beliau mengangkat pandangannya ke langit dan mengucapkan: ‘Arrafiiqul A’laa, Arrafiiqul A’laa (Wahai Allah, Kekasihku Yang Maha Tinggi, Wahai Allah, Kekasihku Yang Maha Tinggi).’ Lalu Abdurrahman bin Abu Bakar masuk dengan membawa kayu siwak yang masih basah. Nabi pun menatapnya, saya mengira beliau memang memerlukan siwak tersebut.” Aisyah berkata: “Maka aku mengambilnya, mengunyahnya, mengibas-ngibaskannya, dan membaguskannya, kemudian aku berikan kepada beliau. Lantas beliau membersihkan giginya dan belum pernah aku melihat orang yang membersihkan giginya sebagus yang beliau lakukan. Setelah itu beliau memberikannya kepadaku namun jatuh (terlepas) dari tangannya. Segala puji bagi Allah yang telah mengumpulkan antara air liurku dengan air liur beliau pada hari-hari terakhir beliau di dunia dan pada hari-hari pertama di akhirat kelak.” (Sahih Bukhari, no. 4096)

9. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meninggal di rumahku, pada hari aku mendapat giliranku, dan berada antara kerongkonganku dan atas perutku.” Lalu Abdurrahman bin Abi Bakar masuk dengan membawa siwak yang masih basah dan menatapnya. Saya mengira dia mempunyai kepentingan. (Aisyah) berkata: “Lalu aku mengambilnya, kemudian mengunyahnya, mengibaskannya, dan membaguskannya, kemudian aku berikan kepada beliau, lalu beliau membersihkan giginya dan belum pernah aku melihat orang yang membersihkan giginya sebagus yang beliau lakukan. Kemudian beliau memberikannya kepadaku dan jatuh (terlepas) dari tangannya lalu aku pun mengambilnya. Dan saya pun berdoa kepada Allah Azza Wa Jalla dengan doa yang digunakan malaikat Jibril ‘alaihissalam untuk memohon. Bila Nabi sakit, beliau selalu berdoa dengan doa itu, tapi pada sakitnya (kali ini) beliau tidak berdoa dengannya. Kemudian beliau mengangkat pandangannya ke langit dan mengucapkan: ‘Ar-Rafiiqul A’laa, Ar-Rafiiqul A’laa (Wahai Allah, Kekasihku Yang Maha Tinggi, wahai Allah, Kekasihku Yang Maha Tinggi).’ Kemudian jiwa (nyawa) beliau melayang, segala puji bagi Allah yang telah mengumpulkan antara air liurku dengan air liur beliau pada hari-hari terakhir beliau di dunia.” (Musnad Ahmad, no. 23083)

10. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, dia berkata: “Tatkala beliau sakit dan sakitnya bertambah berat, ku pegang tangan beliau aku hendak membacakan mentera seperti yang pernah beliau lakukan kepada kami, tetapi beliau menarik tangannya dari tanganku, kemudian beliau mengucapkan: ‘Allahummaghfirli, waj’alni ma’arrafiqil a’la (Ya Allah, ampunilah aku, dan jadikanlah aku bersama Kekasihku Yang Tertinggi).’ Lalu ku lihat beliau, ternyata beliau telah meninggal.’ (Sahih Muslim, no. 4061, Musnad Ahmad, no. 23052, Sunan Ibnu Majah, no. 1608)

11. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha mengatakan: “Di depan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ada kantung kulit atau bejana berisi air, lantas beliau masukkan kedua tangannya dalam air dan beliau usap wajahnya dengan keduanya dan beliau ucapkan: “Laa ilaaha illallah, sungguh kematian diiringi sakarat, sungguh kematian diiringi sakarat.” Kemudian beliau menjulurkan tangannya dan berseru: “Ya Allah, pertemukanlah aku dengan Kekasihku Yang Tertinggi”, hingga akhirnya beliau wafat dan tangannya dalam keadaan senget. (Sahih Bukhari, no. 6029)

12. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha mengatakan: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda ketika beliau sihat: “Tak seorang Nabi pun diwafatkan selain diperlihatkan tempat tinggalnya di syurga, kemudian dia disuruh memilih (untuk tetap hidup di dunia atau wafat).” Tatkala beliau sakit dan kepalanya berada di pahaku, beliau pengsan beberapa saat, kemudian sedar dan mengalihkan pandangannya ke bumbung, kemudian berujar: “Ya Allah, pertemukanlah aku dengan Kekasih Yang Tertinggi.” Aku berkata dalam hati: “Ini bererti beliau tidak lagi memilih untuk tetap bersama kami, dan Aisyah faham bahawa itu adalah ucapan yang beliau perdengarkan kepada kami.” Lanjut Aisyah: “Itulah akhir ucapan yang Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam katakan, iaitu: “Ya Allah, pertemukanlah aku dengan Kekasihku Yang Tertinggi.” (Sahih Bukhari, no. 6028)

13. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha berkata: “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berada dalam keadaan sihat wal afiat, beliau pernah bersabda: ‘Sesungguhnya seorang Nabi tidaklah diwafatkan hingga diperlihatkan kepadanya tempatnya di syurga lalu ia dipersilakan untuk memilih.’ Ketika malaikat pencabut nyawa datang kepada Rasulullah, sementara kepala beliau berada di pangkuan saya, maka Rasulullah pengsan beberapa saat. Tak lama kemudian beliau sedar kembali. Setelah itu, beliau menatap pandangannya ke atas sambil mengucapkan: ‘Ya Allah, pertemukanlah aku dengan Kekasihku, Allah Yang Maha Tinggi!’ Dengan demikian, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak memilih untuk hidup lebih lama lagi bersama kami. Saya teringat ucapan yang pernah beliau sampaikan kepada kami ketika beliau masih sihat, itulah kata-kata terakhir yang pernah beliau ucapkan iaitu: ‘Ya Allah, pertemukanlah aku dengan kekasihku Yang Maha Tinggi’.” (Sahih Bukhari, no. 4104)

14. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah shallallahu wa’alaihi wasallam ketika hendak meninggal mengucapkan: “Allaahummaghfirlii, Warhamnii, Wa alhiqnii Birrafiiqil A’laa (Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, dan pertemukan aku dengan Kekasih Yang Tertinggi).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3418, hasan sahih)

15. Dari Ummu Musa dari Ali, dia berkata: Kata-kata terakhir (wasiat) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah “Solat Solat, bertakwalah kepada Allah dalam hak-hak hamba yang kalian miliki.” (Musnad Ahmad, no. 552, Sunan Abu Daud, no. 4489)

16. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, dia berkata: “Abu Bakar radhiallahu ‘anhu menunggang kudanya dari suatu tempat bernama Sunih hingga sampai dan masuk ke dalam masjid dan dia tidak berbicara dengan orang-orang, lalu dia menemui Aisyah radhiallahu ‘anha dan langsung mendatangi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sudah ditutupi (jasadnya) dengan kain terbuat dari katun. Kemudian dia membuka penutup wajah beliau lalu Abu Bakar bersimpuh di depan jasad Nabi, lalu menutupnya kembali. Kemudian Abu Bakar menangis dan berkata: “Demi bapa dan ibuku, wahai Nabi Allah, Allah tidak akan menjadikan kematian dua kali kepadamu. Ada pun kematian pertama yang telah ditetapkan buatmu itu sudah terjadi.” Kemudian Abu Bakar radhiallahu ‘anhu keluar bertepatan Umar radhiallahu ‘anhu sedang berbicara dengan orang banyak. Maka (Abu Bakar) berkata kepada Umar: “Duduklah!” Namun Umar tidak mempedulikannya. Lalu Abu Bakar berkata lagi: “Duduklah!” Namun Umar tetap tidak mempedulikannya. Akhirnya Abu Bakar bersaksi (tentang kewafatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) sehingga orang-orang berkumpul kepadanya dan meninggalkan Umar, lalu Abu Bakar berkata: “Barangsiapa dari kalian yang menyembah Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, sungguh Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sekarang sudah wafat dan barangsiapa dari kalian yang menyembah Allah, sungguh Allah Maha Hidup yang tidak akan pernah mati. Allah Ta’ala telah berfirman (yang ertinya): ‘Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur (Ali Imran 144).’ Demi Allah, seakan-akan orang-orang belum pernah mengetahui bahawa Allah sudah menurunkan ayat tersebut sampai Abu Bakar radhiallahu ‘anhu membacakannya. Akhirnya orang-orang memahaminya dan tidak ada satu pun orang yang mendengarnya (wafatnya Nabi) kecuali pasti membacakannya.” Dan Umar berkata: “Demi Allah, aku baru tahu setelah mendengar dari Abu Bakar, hingga aku pun bergetar dan kedua kaki tidak tahan berdiri, aku pun terjatuh ke bumi ketika mendengar bacaannya, dan aku baru sadar bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat.” (Sahih Bukhari, no. 1165, no. 4097)

17. Dari Ibnu Juraij dia berkata bahawa para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak tahu di mana mereka akan memakamkan Nabi, sehingga Abu Bakar berkata: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seorang Nabi tidak dimakamkan kecuali di tempat meninggalnya”, maka mereka menyingkirkan tempat tidurnya dan menggali kuburan untuk beliau di bawah tempat tidur beliau.” (Musnad Ahmad, no. 27)

18. Dari Anas radhiallahu ‘anhu berkata: “Ketika sakit Nabi shallallahu ‘alahi wasallam bertambah parah hingga beliau hampir pengsan, beliau diliputi beberapa penderitaan. Fatimah radhiallahu ‘anha berkata: “Alangkah hebatnya penderitaan ayah.” Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam bersabda: “Setelah hari ini, ayahmu tidak akan mendapatkan penderitaan lagi.” Ketika Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam meninggal dunia, Fatimah berkata: “Ayah, engkau telah menyambut panggilan Tuhan. Ayah, syurga Firdauslah tempatmu. Ayah, kepada Jibril ‘alaihissalam aku ucapkan berita kematian ini.” Ketika Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam dimakamkan, Fatimah berkata: “Apakah kalian tidak merasa berat hati menaburkan debu (tanah) kepada Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam?” (Sahih Bukhari, no. 4103)

19. Dari Anas bin Malik dia berkata: “Di hari ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki kota Madinah, maka segala sesuatu menjadi bersinar, namun di hari ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam wafat, semuanya berubah menjadi gelap, dan ketika kami berada di kuburannya untuk menghilangkan (debu dan kotoran yang ada di atasnya) dengan tangan-tangan kami, seolah-olah hati kami mengingkari (wafatnya Rasulullah).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3551, sahih)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*