Keistimewaan kalimah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله

لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله adalah kalimah tauhid di mana seseorang itu membenarkan dalam hati dan lisannya bahawa tiada Tuhan yang layak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Taala. Melalui kalimah tauhid ini juga seseorang itu dikira telah beriman dengan Allah Taala.

Di sini saya ingin berkongsikan beberapa hadith yang didapati dari kitab mengenai kalimah ini yang mana walaupun sebutannya pendek dan mudah, bacaannya ringkas, namun ia mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah Taala.

1. ZIKIR YANG UTAMA

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Zikir yang paling utama adalah ‘Laa ilaaha illallah (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah)’ dan doa yang paling utama adalah ‘Alhamdulillah (segala puji bagi Allah)’.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3305, hasan, Sunan Ibnu Majah, no. 3790)

“Ada empat ucapan yang paling disukai Allah Subhanahu Wa Ta’ala: Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah), Laa ilaaha illallah (Tiada Tuhan selain Allah), dan Allahuakbar (Allah Maha Besar). Tidak berdosa bagimu dengan mana saja kamu memulai.” (Sahih Muslim, no. 3985, Sunan Ibnu Majah, no. 3801, Musnad Ahmad, no. 19248)

“Iman itu ada tujuh puluh tiga sampai tujuh puluh sembilan, atau enam puluh tiga sampai enam puluh sembilan cabang. Yang paling utama adalah perkataan ‘Laa ilaaha illallah (Tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah)’. Dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan. Dan malu itu adalah sebahagian dari iman.” (Sahih Muslim, no. 51, Sunan At-Tirmidzi, no. 2539, hasan sahih, Musnad Ahmad, no. 9371, no. 9372)

2. KALIMAH HUJUNG NYAWA

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Pimpinlah orang yang sedang berada di penghujung ajalnya agar membaca (kalimah) ‘Laa ilaaha illallah’.” (Sahih Muslim, no. 1523, no. 1524, Sunan Abu Daud, no. 2710, Sunan An-Nasa’i, no. 1803, Sunan Ibnu Majah, no. 1434, Musnad Ahmad, no. 10570)

3. BERAT TIMBANGANNYA

Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Nabi Allah Nuh ‘alahis salam ketika maut hendak menjemputnya dia berkata anaknya: “Aku akan mengisahkan kepadamu sebuah wasiat. Aku memerintahkanmu mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ kerana sesungguhnya jika langit yang tujuh serta bumi yang tujuh itu diletakkan pada satu neraca lalu kalimah ‘Laa ilaaha illallah’ diletakkan pada neraca yang lainnya nescaya akan condong kepada neraca yang diletakkan kalimah ‘Laa ilaaha illallah’ padanya. (Musnad Ahmad, no. 6295)

4. DIBUKA PINTU LANGIT

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Tidaklah seorang hamba yang mengucapkan ‘Laa ilaaha illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah)’ dengan ikhlas kecuali akan dibukakan baginya pintu-pintu langit hingga sampai kepada Arasy, selagi dia masih menjauhi dosa-dosa besar.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3514, hasan)

5. DITURUNKAN RAHMAT

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan:

“Jibril ‘alaihis salam menyumbatkan tanah ke mulut Firaun (ketika hendak lemas) kerana khuatir dia mengucapkan ‘Laa ilaaha illallah’ kemudian Allah merahmatinya atau takut kalau Allah mencurahkan rahmat padanya. (Sunan At-Tirmidzi, no. 3032, hasan, no. 3033, hasan sahih, Musnad Ahmad, no. 2989, no. 2093)

6. MENDAPATKAN SYAFAAT

Dari Abu Hurairah bahawa dia bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaatmu pada hari Kiamat?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Aku telah menduga wahai Abu Hurairah, bahawa tidak ada orang yang mendahuluimu dalam menanyakan masalah ini, kerana aku lihat betapa minatnya dirimu terhadap hadith. Orang yang paling berbahagia dengan syafaatku pada hari Kiamat adalah orang yang mengucapkan ‘Laa ilaaha illallah’ dengan ikhlas dari hatinya atau jiwanya.” (Sahih Bukhari, no. 97, no. 6085, Musnad Ahmad, no. 8503)

Dari Jabir bin Abdullah, bercerita: “Apabila syafaat diizinkan, mereka (ummat) pun meminta syafaat, sehingga mereka dapat keluar dari Neraka, iaitu orang yang mengucapkan ‘Laa ilaaha illallah (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah)’, dan dahulu di hatinya terdapat kebaikan seberat biji gandum. Mereka akan ditempatkan di halaman Syurga, lalu ahli Syurga akan memercikkan mereka dengan air sehingga daging mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu tumbuhan selepas banjir, dan hilanglah hangusnya. Kemudian dia (orang terakhir meminta), sehingga diberikan kepadanya dunia dan sepuluh kali lipatnya.” (Sahih Muslim, no. 278)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pada hari Kiamat, aku memanjatkan puji-pujian kepada Allah kemudian aku tersungkur sujud lalu diserukan: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu, ucapkanlah engkau didengar, mintalah engkau diberi, dan mintalah syafaat engkau akan diberi syafaat.” Maka aku berkata: “Wahai Tuhanku, izinkanlah bagiku untuk mengeluarkan dari neraka orang-orang yang mengucapkan Laa ilaaha illallah!” Maka Allah menjawab: “Demi kemuliaan, keagungan dan kebesaran-Ku, sungguh akan Aku keluarkan siapa saja yang mengucapkan Laa ilaaha illallah.” (Sahih Bukhari, no. 6956, Sahih Muslim, no. 286)

7. PENYELAMAT DI AKHIRAT

Ketika menjelang wafatnya Abu Talib, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam masuk menemuinya sementara di sampingnya ada Abu Jahal. Beliau berkata: “Wahai pakcikku, katakanlah ‘Laa ilaaha illallah’, suatu kalimah yang akan aku pergunakan untuk menyelamatkan engkau di sisi Allah.” (Sahih Bukhari, no. 3595, no. 4399, Sahih Muslim, no. 35, Musnad Ahmad, no. 22562)

Umar Al-Khattab melalui tepi Talhah setelah wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia berkata: “Kenapa kamu termenung? Apakah isterimu menyakitimu?” Talhah menjawab: “Tidak, tetapi saya pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya saya tahu suatu kalimah jika diucapkan oleh seseorang ketika ajalnya tiba, maka akan menjadi cahaya untuk catatan amalnya. Dan sesungguhnya jasad dan rohnya akan mendapatkan ketenangan ketika maut menjemputnya.” Namun (sayangnya) tidak sempat saya tanyakan kalimah itu sampai beliau meninggal.” Umar berkata: “Saya mengetahui kalimah itu, iaitu kalimah yang sangat diinginkan agar pakciknya (Abu Talib) mengucapkan kalimah tersebut (Laa ilaaha illallah). Dan sekiranya beliau mengetahui ada kalimah lain yang lebih baik darinya, tentu beliau akan memerintahkannya.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3785, Musnad Ahmad, no. 182)

Dari Hudzaifah bin Yaman bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “(Ajaran) Islam akan terkikis sebagaimana hiasan baju yang terkikis sehingga tidak diketahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadah dan apa itu sedekah, dan akan ditanggalkan Kitabullah (diangkat Al-Quran) di malam hari, sehingga tidak berbaki di muka bumi walau satu ayat pun. Maka yang tinggal adalah beberapa kelompok manusia yang telah lanjut usia dan lemah, mereka berkata: “Kami menemui bapa-bapa kami memperkatakan kalimah ‘Laa ilaaha illallah (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah)’, maka kami mengucapkannya.” Shilah (perawi) berkata kepada Huzaifah: “Kalimah Laa ilaaha illallah tidak cukup bagi mereka, kerana mereka tidak tahu apa itu solat, apa itu puasa, apa itu ibadah dan apa itu sedekah.” Maka Hudzaifah berpaling darinya hingga dia mengulangi pertanyaan sampai tiga kali, dan pada kali ketiganya Hudzaifah menerimanya dan berkata: “Wahai Shilah, kalimah itu dapat menyelamatkan mereka dari neraka”, Hudzaifah mengucapkannya sebanyak tiga kali. (Sunan Ibnu Majah, no. 4039)

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menunggang kenderaan sementara Mu’adz membonceng di belakangnya. Beliau lalu bersabda: “Wahai Mu’adz bin Jabal!” Mu’adz menjawab: “Wahai Rasulullah, aku penuhi panggilanmu.” Beliau bersabda: “Tidaklah seseorang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah (Laa ilaaha illallah), dan Muhammad adalah Rasulullah, tulus dari dalam hatinya, kecuali Allah akan mengharamkan baginya neraka.” Mu’adz lalu bertanya: “Apakah boleh aku memberitahukan hal itu kepada orang ramai, sehingga mereka bergembira dengannya?” Beliau menjawab: “Nanti mereka jadi malas (untuk beramal).” Mu’adz lalu menyampaikan hadis itu ketika dirinya akan meninggal kerana takut dari dosa (sembunyikan hadith).” (Sahih Bukhari, no. 125, Sahih Muslim, no. 47)

8. DIMASUKKAN KE SYURGA

Umar Al-Khattab berkata: “Wahai Rasulullah, apa benar engkau telah mengutus Abu Hurairah dengan kedua sandalmu itu dan menyuruhnya memberi khabar gembira dengan syurga bagi orang yang pertama kali ditemuinya sedang orang itu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah (Laa ilaaha illallah) dengan keyakinan yang mantap dalam hatinya?” Beliau menjawab: “Ya benar.” Umar berkata: “Sebaiknya engkau tidak berbuat demikian wahai Rasulullah, kerana sesungguhnya aku sangat khuatir kalau-kalau manusia akan bergantung padanya, dan biarkanlah mereka melaksanakan amalan-amalan yang baik.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata (kepada Abu Hurairah): “Biarkanlah mereka (tetap beramal dan tidak mengetahui hadith ini).” (Sahih Muslim, no. 46)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*