Khalifah Umar Al-Khattab dan Penjual Susu

Pada satu malam Sayyidina Umar radhiallahu ‘anhu bersama khadamnya memantau keadaan rakyatnya di pinggir Madinah sebagaimana rutin hidupnya sebagai Amirul Mukminin. Akhirnya Sayyidina Umar duduk berehat dengan bersandar di dinding sebuah rumah. Tiba-tiba beliau terdengar dua beranak berdialog.

Berkata seorang perempuan penjual susu kepada anak gadisnya: “Campurlah susu ini dengan air!”

Lalu anaknya membantah seraya bertanya: “Apakah ibu tidak takut kalau hal ini diketahui Khalifah Umar bin Khattab?”

Ibunya menjawab: “Umar tidak akan tahu.”

Dengan penuh keyakinan anaknya pun menjawab: “Walaupun Umar tidak mengetahuinya, apakah bererti Tuhan yang menciptakan Umar juga tidak mengetahuinya?”

Si ibu terperanjat lalu terdiam seribu bahasa dengan kata-kata anaknya. Lalu bergegaslah Sayyidina Umar meninggalkan rumah itu seraya memberikan arahan kepada pembantunya: “Tandalah rumah ini!”

Keesokan harinya Sayyidina Umar segera memanggil Ashim, salah satu anak lelakinya seraya bertanya: “Mahukah kamu aku nikahkan dengan seseorang yang sangat baik agamanya?” Tanpa fikir panjang lagi Ashim pun menjawab dengan penuh keyakinan: “Ya”.

[Sirah wa Manaqib Umar bin Abdul Aziz, karya Ibnu al-Jauzi]

Begitulah kisah seorang anak yang solehah telah memikat hati Amirul Mukminin untuk dijadikan menantu. Perkahwinan mereka berdua telah melahirkan seorang anak perempuan yang bernama Laila. Laila telah berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan seorang Gabenor Mesir pada pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Perkahwinan mereka berdua melahirkan Umar bin Abdul Aziz, Amirul Mukminin yang kelima seorang khalifah yang bertakwa, warak dan adil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*