Khalifah Umar ditegur oleh lelaki yang bermaksiat

Para ulama’ sejak dahulu telah melarang mengintip untuk mencegah kemaksiatan. Hal ini telah ditegaskan oleh Al-Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulum Al-Din:

“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pasukan pencegah mungkar) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini.

Kisah Umar Al-Khattab dan Abdurrahman bin Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab Al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa Umar radhiallahu ‘anhu telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar (sedang bermaksiat). Lelaki tersebut telah membantah Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. Umar bertanya: “Apa dia?”

Dia berkata: Allah Ta’ala telah berfirman: “Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain.” Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: “Masukilah rumah melalui pintu-pintunya.” Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: “Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya.” Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka Umar pun meninggalkannya.

Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia (perbuatan maksiat tersebut) nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut.”

Rujukan: Ihya Ulum Al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*