Makkah & Madinah: Secebis perkongsian perjalanan

Hari ini sempena dengan pemergian boss saya menunaikan ibadah umrah buat kali pertama, maka tergerak hati saya nak kongsikan pengalaman dan perjalanan menuju ke dua Tanah Suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah. Umrah seperti yang semua tahu adalah ibadah yang dituntut akan perlaksanaannya seiring dengan ibadah Haji, dan alhamdulillah saya telah dipilih oleh Allah Taala untuk mengerjakannya sebanyak 3 kali hingga ke saat ini. Ibadah fardhu Haji pula saya belum diberi rezeki untuk terpilih menunaikannya kerana faktor kewangan yang juga ia menjadi asbab belum dijemput oleh Allah.

Visa umrah, kad ketibaan dan kad berlepas

Visa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada jemaah ialah selama 30 hari untuk tinggal di Tanah Suci dan pulang ke tanah air (validity). Dan jemaah ada tempoh 30 hari untuk masuk ke Tanah Suci dari tarikh visa dikeluarkan (duration of stay). Urusan mendapatkan visa umrah akan dilakukan oleh pihak travel agency setelah jemaah membuat bayaran dan memberikan segala dokumen yang diperlukan. Jemaah perlu mengisi kad ketibaan untuk disemak oleh pegawai imigresen apabila tiba di lapangan terbang Arab Saudi. Begitu juga ketika hendak pulang ke tanah air, jemaah perlu mengisi kad berlepas untuk disemak.

Perjalanan

Kebiasaannya perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Tanah Suci mengambil masa selama 8 jam menaiki kapal terbang. Perjalanan menaiki bas antara dua Tanah Suci pula mengambil masa dalam 5 hingga ke 6 jam. Antara dua Tanah Suci ini ada tempat rehat yang tidak semewah dan tidak seselesa R&R di Malaysia.

Umrah dan pengalaman manis

Pertama kali saya menjejakkan kaki ke negara padang pasir yang di dalamnya ada dua kota suci tersebut ialah pada tahun 2012 sewaktu saya bekerja dengan salah sebuah syarikat travel yang menguruskan jemaah umrah. Alhamdulillah, majikan saya (dahulu) ingin memberikan pendedahan kepada saya untuk sendiri ke sana mencari pengalaman bagaimana untuk menguruskan jemaah kecil sebelum dapat menguruskan kumpulan yang lebih besar. Ketika itu jemaah kecil tersebut terdiri daripada rakan sekerja (syarikat travel) dan pekerja majikan saya dalam bidang engineering (majikan saya punya beberapa syarikat selain travel). Pengalaman pertama mengerjakan umrah dan menguruskan jemaah memang benar-benar memberikan seribu erti dan kenangan sepanjang hayat.

Pengalaman manis pertama yang saya tak dapat lupakan ialah saat kali pertama memandang Kaabah (rumah Allah) yang cukup besar di hadapan mata, ketika itu berderai air mata kerana telah terlalu lama rindu untuk menatapnya secara depan-depan. Kemudian pengalaman manis mencium Hajarul Aswad, batu yang asalnya putih dari syurga yang bertukar menjadi hitam kerana dosa anak-anak Adam yang mengucupnya. Ketika selesai umrah pada awal pagi itu, saya tak pulang ke hotel, malah tunggu untuk solat subuh. Melihat puluhan manusia saling tolak menolak di tepi Hajar Aswad membuatkan saya berfikir bahawa peluang agak tipis, lagipun tubuh mereka besar-besar berbanding kita orang Malaysia. Lalu saya menyatakan hajat saya kepada Allah semata-mata, mengharap akan terkabulnya doa, mengharap agar dipermudahkan urusan untuk melakukan sunnah Rasulullah mengucup Hajar Aswad, dan sungguh tak disangka Allah kabulkan hajat saya serta merta. Beberapa orang polis di Masjidil Haram datang lalu menyuraikan jemaah di sisi Hajar Aswad, lalu tempat itu dikosongkan, saya adalah salah seorang yang berada di tepi barisan polis tersebut masih melihat batu hitam tersebut, dan tidak semena-mena salah seorang anggota polis itu memanggil saya dan disuruhnya mengucup Hajar Aswad tanpa ada halangan dari sesiapa pun. MasyaAllah Tabarakallah, sungguh manis rasanya kasih Allah ketika itu mengabulkan hajat hamba-Nya.

Selain itu, pengalaman manis yang lain saya diizin Allah solat di dalam Hijir Ismail yang dilakukan sempena mengambil sunnah Rasulullah yang mengatakan ‘sesiapa yang solat di dalam Hijir, maka seolah-olah dia solat di dalam Kaabah’, dapat menyentuh dinding dan kiswah Kaabah, dapat berdoa di Multazam dan pintu Kaabah dan dapat merasai nikmat tinggal dalam lingkungan keberkatan Masjidil Haram.

makam2Di Madinah pula muncul perasaan yang tak dapat digambarkan apabila dapat ‘bertemu’ dengan kekasih Allah yang ‘hidup’ di dalam makamnya bersama kedua sahabatnya yang mulia. Berbisik-bisik di dalam hati mengungkapkan selawat, salam, berbicara dengan baginda walau tiada balasan. Ditambah nikmat lagi dengan memasuki taman syurga (Raudhah) dalam kesesakan ramai mengerjakan ibadah wajib dan sunat di situ. Saya pasti, setiap yang beriman dan kasih kepada Allah dan Rasul-Nya pasti tidak merasa bosan duduk beriktiqaf di Masjid An-Nabawi walaupun mengambil masa yang lama. Selain solat jenazah yang dilaksanakan setiap kali selepas solat fardhu, saya diizin Allah mengikuti rombongan jemaah menunaikan fardhu kifayah yakni mengusung dan menguburkan jenazah di perkuburan Baqi’ bersebelahan masjid. Sungguh berbeza dengan kebiasaan di Malaysia.

Umrah kedua yang diizin Allah ke atas saya pada tahun 2013, dan ketika itu saya telah berkahwin namun tiada rezeki bagi saya membawa zaujah (isteri) kesayangan. Namun pada umrah kali ketiga iaitu pada April 2014 (tahun ini) doa saya dimakbulkan apabila Allah menjemput zaujah bersama-sama saya ke rumah-Nya. Alhamdulillah, niat saya membawa zaujah ke tanah suci pada awal-awal pernikahan telah terlaksana, kini niat saya ingin menunaikan fardhu Haji bersama isteri sahaja yang masih menjadi impian. Masih teringat kenangan membawa zaujah untuk mengucup Hajar Aswad, memang sukar namun berhasil. Dan teringat di hari-hari terakhir saya dan zaujah akan meninggalkan Madinah, kami menuju ke kawasan lapang berhadapan makam Rasulullah untuk mengucapkan salam selamat tinggal kepada baginda, ketika itu tiada siapa yang ada berhampiran kami, lalu kami dikejutkan dengan suatu haruman yang tersangat wangi menusuk ke hidung-hidung kami. Masing-masing pandangan sesama sendiri dan berkata: “Wanginya, bau apa ini?” Tiada jawapan yang pasti, kerana bau itu lebih harum dari kasturi yang pernah dihidu oleh kami.

Ziarah sekitar Makkah dan Madinah

Kebiasaannya di Makkah, mutawwif akan membawa jemaah ziarah dalam Masjidil Haram dan menerangkan sejarah-sejarahnya. Kemudian barulah dibawa ziarah ke beberapa tempat seperti Padang Arafah, Jabal Rahmah, Jabal Nur, Jabal Tsur, Muzdalifah, Mina, Ja’ranah, Hudaibiyah, muzium, kilang Kiswah dan kandang unta. Jika ingin ke tempat selain yang disebutkan, jemaah perlu mengambil inisiatif sewa kenderaan untuk menuju ke tempat tersebut antaranya Gua Hira’, Masjid Syajarah, Masjid Jin, Tana’im, perkuburan Mu’alla, dan lain-lain kawasan di Makkah.

Di Madinah, saya sering dibawa menziarahi Masjid An-Nabawi terlebih dahulu sebelum ziarah ke tempat lain bagi mencukupkan ilmu selain beribadah. Ziarah luar kebiasaannya akan dibawa ke Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh, Jabal Uhud, perkuburan Uhud dan berakhir di pasar kurma. Selain tempat-tempat itu, saya pernah dibawa oleh mutawwif ke muzium Madinah, sangat teruja melihat sejarah-sejarah yang dipamerkan di muzium tersebut yang tidak didapati di tempat lain. Selain itu, kilang Al-Quran, bukit Magnet dan tempat menunggang kuda antara tempat yang boleh diziarah di Madinah jika ada kelapangan.

Lokasi beli belah di Makkah dan Madinah

Saya adalah seorang yang meminati beberapa barangan sahaja, jadi tak banyak yang boleh saya beli sewaktu di sana. Yang lainnya adalah barang yang dikirim oleh keluarga dan sahabat handai. Berikut adalah tempat-tempat yang saya sering kunjungi untuk mencari barangan dan makanan.

1. Jubah lelaki: Selalunya saya beli brand Al Aseel dan Daffah sahaja, boleh didapati di kedai dalam Safwah Hotel Makkah (banyak), Hilton Hotel Makkah dan di kedai dalam hotel-hotel yang sebaris dengan pintu utama Masjid Nabawi Madinah. Kalau nak tempah jubah pula sebaiknya cari kedai jahit pakaian yang ada sekitar Makkah dan Madinah. Dan di mana ada jubah lelaki, di situ ada juga jubah kanak-kanak.

2. Abaya wanita: Boleh didapati di kedai dalam Hilton Hotel Makkah (banyak), Safwah Hotel Makkah (tak berapa banyak), di kedai dalam hotel-hotel yang sebaris dengan pintu utama Masjid Nabawi Madinah (banyak). Selalunya di mana ada abaya, di situ ada niqab.

3. Kopiah lembik UAI: Saya beli di kedai dalam Hilton Hotel Makkah

4. Barang kemas: Banyak di kedai-kedai emas di bawah Safwah Hotel Makkah, Zam-zam Hotel Makkah, di bawah hotel-hotel yang sebaris dengan pintu utama Masjid Nabawi Madinah.

5. Wangian (kebanyakkannya jenis attar): Beli di kedai dalam Safwah Hotel Makkah, Hilton Hotel Makkah, di kedai dalam hotel-hotel yang sebaris dengan pintu utama Masjid Nabawi Madinah.

6. Makanan harian yang lazat: Sila ke foodcourt di dalam Safwah Hotel Makkah (ada makanan Malaysia juga), di Madinah pula, sila ke tempat makan di hadapan Dallah Taibah Hotel. Makanan lain seperti KFC, Starbucks, atau aiskrim yang menyelerakan ada sekitar masjid sahaja.

7. Kurma, kacang, kismis: Saya beli di landang kurma dan pasar kurma Madinah.

8. Buah-buahan: Boleh didapati di sekitar Masjid Nabawi (jual tepi jalan), di sekitar kedai-kedai di sebelah Ajyad dan Jalan Ibrahim, Makkah.

9. Sim kad: Selalunya saya akan melanggan khidmat telco Mobily dan ia boleh didapati di dalam Zam-zam Hotel Makkah atau di bawah Shaza Al-Madinah Hotel.

10. Kayu sugi: Saya beli di kaki lima hadapan Masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Haram, ramai peniaga menjualnya.

11. Pertukaran wang: Saya selalu menukar wang di Madinah kerana di sana mendapat nilai pertukaran yang lebih menguntungkan berbanding di Malaysia atau Makkah. Lokasinya di bawah Hilton Hotel Madinah.

Banyak lagi barangan atau makanan yang boleh didapati di sana, maka pandai-pandailah anda mencari masa untuk pusing sekitar masjid untuk mendapatkannya.

Tip-tips berguna insyaAllah

1. Di Masjid Al-Haram, tiada solat tahiyatul masjid (solat hormat masjid), yang ada hanyalah tawaf sunat sebagai menggantikan solat tersebut. Bertawaf adalah lebih utama berbanding solat sunat di sini. Juga, tiada waktu haram solat di Masjidil Haram.

2. Jika anda tak larat nak berjalan lagi ketika ibadah sai’e, anda boleh berehat sebentar dan teruskan perjalanan atau anda boleh mendapatkan khidmat kerusi roda. Deretan tempat gunting rambut atau tahallul lokasinya adalah sebelah pintu Marwah, boleh terus ke sana setelah selesai sa’ie.

3. Selipar menjadi alas kaki utama, namun ketika hendak masuk ke masjid wajib ditanggal dan disimpan selipar. Namun selipar di kedua masjid ini cepat ‘ghaib’ atau tersalah letak. Maka gunakan beg kasut yang diberikan pihak travel dan sentiasa bawa beg kasut tersebut ke mana saja anda pergi. Mudah apabila nak keluar ikut pintu lain dan tidak berebut tempat letak kasut dengan jemaah lain.

4. Minum air zam-zam sebanyak mungkin, ia dapat mengenyangkan perut yang lapar dan ia juga sebagai medium berdoa memohon hajat kepada Allah. Minum dengan duduk atau berdiri adalah sunnah.

5. Setiap malam (tak silap saya) ada pengajian di dalam kedua-dua masjid oleh Syeikh yang bertugas, dalam bahasa indonesia pun ada. Maka masuklah kamu ke dalam majlis ilmu (taman-taman syurga).

6. Udara di sana panas-kering, maka pakailah lips balm supaya bibir tak pecah, pakai lotion supaya kaki tak merekah.

7. Sedekah adalah amalan mulia. Di sana terdapat pelbagai golongan yang kita boleh bersedekah. Bagi saya, saya akan utamakan pekerja masjid yang membersih masjid. Mutawwif saya kata gaji mereka kecil.

8. Waktu datang ke Tanah Suci bawalah satu dua set pakaian sahaja. Sebab nanti anda akan beli banyak pakaian lain, jadi berat bagasi perlu dijaga supaya tak kena bayar cas lebihan berat sewaktu pulang.

Saya rasa cukup setakat ini sahaja perkongsian pengalaman yang sempat dicoretkan. Jika ada penambahan, saya akan sambung lagi. Moga bermanfaat!

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*