Persepsi: Jubah, Serban, Tudung Labuh, Niqab

serban niqabPERSEPSI

Berjubah besar, serba hitam, bertudung labuh dan memakai niqab.

Apatah lagi melihat suaminya pula memakai jubah, berkain pelekat dan berserban.

Apabila di mata masyarakat, kebanyakan (bukan semua), persoalan dan jawapan yang keluar dari corak pemikiran mereka adalah :

“Awak pengikut arqam ye dulu?”
“Awak Jemaah Tabligh, kan… Selalu keluar ke mana?”
“Jenis pentaksub puak Ya hanana tu…”
“Dah macam ninja pula pakai macam tu…”

Dan banyak lagi.

Bagi sang faqir dan isteri, itu semua sudah menjadi perkara yang lali untuk difikirkan. Sesungguhnya mereka tidak tahu. Marah, sudah tentu tidak. Hanya boleh senyum manis sahaja.

Pertamanya, kenapa isteri tersayang Muslim Cottage memakai niqab serta berpakaian hitam sebegitu? Adakah sang faqir memaksa beliau?

Tidak, langsung tidak memaksa. Ianya atas kerelaan sendiri yang berdasarkan ILMU dan FAHAM, bukan kerana mengikut-ikut orang.

Dan apabila seseorang itu cantik, menarik serta elok rupa, teramat eloklah paras itu menjadi tatapan suami sahaja. Apa gunanya ijab dan qobul, jika kecantikan isteri menjadi tatapan ramai? Ini pada pandangan dhoif sang faqir, cuma tiada masalah dengan tidak memakai niqab, asal sahaja aurat dan batasnya terjaga, begitu juga dengan hal ikhtilat. Hal ini nampak mudah dan remeh, tetapi antara sebab keruntuhan institusi rumah tangga adalah disebabkan perkara yang nampak mudah dianggap remeh.

Begitu juga dengan halnya jubah dan serban. Ianya jelas, sebagai pakaian Sayyiduna Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajmain. Jadi, tiada perlu kepelikan dengan pemakaian tersebut, kerana jika di akhirat kita memerlukan syafaat Sayyiduna Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam maka di dunialah tempat mencari pintu syafaat serta mengumpul akannya.

Dengan imej kami sebegini, ianya tidak menghalang kami untuk bermasyarakat. Sang faqir masih boleh keluar minum dengan sahabat-sahabat tanpa kekok, isteri masih boleh keluar bersama-sama rakannya tanpa rasa segan. Hakikatnya, jadi diri sendiri.

Kami sekeluarga bukan dari jemaah tabligh, bukan juga dari jemaah arqam dan bukan juga yang dikatakan sebagai pentaksub Habaib.

Kami sekadar Muslim yang cuba menjalankan kehidupan sebagai Muslim seadanya. Semoga dengannya terdiri kami dari kalangan Mu’min yang Muhsin lagi Mukhlis dihadapan ALLAH kelak.

Memakai jubah dan serban bukanlah tanda seseorang itu baik, tetapi adalah tidak baik memandang mereka yang memakai jubah dan serban itu menunjuk-nunjuk baik.

Memakai niqab dan purdah bukanlah tanda seseorang itu muslimah sempurna dan baik, tetapi amatlah tidak baik jika memandang mereka yang memakai niqab dan purdah itu menunjuk-nunjuk baik dan sempurna.

Kita sepatutnya bersyukur masih ada yang ingin meneruskan sunnah Sayyiduna Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dan Isteri Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam berpakaian serta mendoakan agar diri kita dan keluarga suatu hari nanti dapat mengikut sepenuhnya Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Kepada pemakai dan pembawa sunnah Sayyiduna Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, perlu diingat, apabila membawa sunnah Sayyiduna Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka janganlah tercicir AKHLAK dan SYARIAT Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam agar peroleh hikmah serta hakikat sebenar kasih sayang Sayyiduna Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam mencapai Rahmat dan Redha ALLAH, dunia dan akhirat.

Keluarga bahagia adalah keluarga yang ‘hidup bersama’ Sayyiduna Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Ditulis oleh: Wan Asrul Al-Kalantani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*