Raja dan menteri: Hikmah di sebalik musibah

Di benua Afrika terdapat seorang Raja yang suka memburu. Beliau mempunyai seorang menteri yang sangat rapat dengannya. Setiap kali memburu, raja akan membawanya bersama. Menteri ini mempunyai kebiasaan yang mana jika mendengar sebarang musibah, dia akan katakn “al khair khiyaratullah (ada kebaikan dan hikmah disebaliknya, pilihan Allah adalah terbaik)”.

Pada suatu hari, Raja membuat sedikit persediaan dengan mengasah alatan memburu, tiba-tiba terpotong jarinya. Maka cacatlah dia akan satu jari itu. Tidak lama kemudian, Raja dan menteri bersiap sedia untuk memburu. Dalam pada itu, menteri kehairanan melihat keadaan jari Raja, lalu bertanyalah dia. Setelah Raja menceritakan keadaan sebenar, menteri mengatakan pasti ada kebaikan dan hikmah disebaliknya. Raja tiba-tiba menjadi murka setelah mendengar kata-kata menteri, lalu Raja memecat menteri.

Raja masih gagah meneruskan pemburuan seorang diri sehingga hutan belantara diredah. Malangnya Raja ditangkap oleh kaum asli kanibal (orang makan orang). Pada malamnya berkumpullah seluruh orang asli itu untuk melakukan upacara memakan Raja. Kebiasaannya sebelum memasak manusia, Tok Batin iaitu ketua puak akan mengarahkan pengawai kesihatannya untuk memeriksa anggota manusia yang akan dimasak. Kepercayaan mereka jika ada kecacatan pada tubuhnya, maka manusia itu akan memberi kecelakaan kepada mereka. Pengawai kesihatan melaksanakan tugasnya, didapati akan kecacatan jari pada Raja. Maka takutlah seluruh orang asli. Segera dilepaskan kembali Raja pulang.

Setelah itu, baru Raja sedar akan kata-kata menteri. Pasti ada hikmah terputus jarinya. Raja pun terus mencari menteri lalu menceritakan tentang kejadian dalam hutan. Maka menteri pun berkata bahawa dia bersyukur dan mengatakan ada hikmah dia dipecat. Jika dia tidak dipecat, dia akan bersama raja memburu dan sama-sama ditangkap, pasti dia akan dimakan oleh orang asli kanibal sedang Raja dibebaskan, kerana tiada kecacatan anggota pada menteri itu.

Kisah ini membawa pengajaran yang besar buat kita bahawa apa saja musibah yang menimpa, kita hendaklah bersangka baik dengan Allah. Jangan sekali-kali bersangka buruk dengan-Nya. Allah yang Maha Perancang mempunyai pilihan terbaik untuk hamba-Nya. Di sebalik setiap kejadian musibah dan malapetaka, pasti ada hikmahnya samada ianya difahami oleh manusia atau pun tidak.

Diceritakan dalam Syarah Tasawwuf oleh Ustaz Iqbal bin Zain al-Jauhari

One comment

  1. saya ada seorang yang awak tahu la

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*