Rasulullah juga diqisas

Qisas adalah seperti hukum had (hudud) yakni hukum yang diturunkan oleh Allah dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Qisas bermaksud dibalas kembali perbuatan seseorang yang menyakitkan atau mencederakan atau membunuh seseorang yang lain. Maka dalam hadith ini diceritakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga turut diqisas oleh salah seorang sahabat dalam beberapa kisah.

Diriwayatkan dari Usaid bin Hudhair bahawa seorang laki-laki Ansar berkata: “Saat dia bercakap-cakap dengan sekumpulan orang, lalu ada sesuatu yang membuat mereka tertawa, tiba-tiba Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menusuk perutnya dengan kayu.”

Laki-laki itu berkata: “Berikanlah aku hak untuk mengqisas (membalas kembali)!” Beliau bersabda: “Lakukanlah.” Laki-laki itu berkata lagi: “Tuan masih mengenakan baju, padahal aku tidak mengenakan baju (ketika ditusuk).”

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lantas melepas bajunya, namun laki-laki itu memeluk dan mencium badan beliau seraya berkata: “Wahai Rasulullah, sebenarnya inilah yang aku harapkan.”

(Sunan Abu Daud, no. 4547)

Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq bahawa ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membetulkan saf perang Badar dengan anak panah beliau, lalu beliau melalui depan Sawad bin Ghaziyyah, salah seorang sekutu Bani Ady bin An-Najjar.

Ketika itu safnya tidak lurus, kemudian beliau memukulkan anak panahnya ke perut Sawad lalu memerintahkan: “Luruskan barisanmu, hai Sawad!” Sawad pun berkata: “Wahai Rasulullah, engkau telah menyakitiku, padahal engkau diutus Allah Taala dengan membawa kebenaran dan keadilan. Berilah aku kesempatan untuk membalasmu (qisas)!”

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyedari hal itu dan terus menyingkapkan bajunya seraya bersabda: “Silakan engkau balas!” Sawad kemudian memeluk dan mencium perut Nabi. Beliau bertanya: “Apa yang mendorongmu melakukan ini, wahai Sawad?”

Sawad berkata: “Seperti yang engkau lihat ya Rasulullah, peperangan hampir terjadi. Aku ingin agar pada saat akhir aku denganmu, kulitku bersentuhan dengan kulitmu.” Beliau shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian mendoakan kebaikan untuk Sawad.

(Al-Bidayah Wan Nihayah, juz 4, hal. 271, karya Ibnu Katsir)

MasyaAllah tabarakallah! Pemimpin tertinggi Islam, yakni Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam pun juga turut tunduk kepada hukum Islam, tiada kompromi walau beliau adalah utusan Allah, tetap memberikan hak kepada yang berhak. Inilah tauladan yang perlu dicontohi oleh setiap pemimpin Islam kini.

Ingatlah kalam Rasulullah yang mahsyur mengenai hukum Allah, beliau bersabda:

“Sesunguhnya orang-orang sebelum kalian menjadi binasa kerana apabila ada orang dari kalangan terhormat mereka mencuri, mereka membiarkannya. Sebaliknya apabila ada orang dari kalangan rendah mereka mencuri, mereka menegakkan saksi hukuman atasnya. Demi Allah, sendainya Fatimah binti Muhamamd mencuri, pasti aku potong tangannya.”

(Sahih Bukhari, no. 3453, no. 3216, Sahih Muslim, no. 3196, Sunan At-Tirmidzi, no. 1350, hasan sahih, Sunan An-Nasa’i, no. 4813, no. 4816, Musnad Ahmad, no. 24134, Sunan Ad-Darimi, no. 2200)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*