Bab: Permulaan Turunnya Wahyu

Syaikh Imam al-Hafizh Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Mughirah al-Bukhari r.a telah berkata: Bagaimana permulaan turunnya wahyu kepada Rasulullah s.a.w?

Dan firman Allah s.w.t: “Sesungguhnya Kami telah memberi wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang sesudahnya..”

1. Dari Alqamah bin Waqqash al-Laitsi berkata: Aku pernah mendengar Umar bin Khattab r.a berkhutbah di atas mimbar. Ia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya amal-amal perbuatan itu hanyalah menurut niatnya, dan bagi setiap orang hanyalah sesuatu yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia, maka ia akan memperolehinya. Atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa-apa yang kerananya ia melakukan hijrah.

2. Dari Aisyah Ummul Mukminin r.a bahawasanya al-Harits bin Hisyam r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana datangnya wahyu kepadamu? Maka Rasulullah s.a.w menjawab: Terkadang wahyu itu datangnya kepadaku seperti suara gemerincingnya bunyi loceng, dan itu yang paling berat menurutku. Lalu terputus dariku dan aku sedar akan apa-apa yang dikatakannya. Kadang-kadang datang kepadaku malaikat yang berubah wujud sebagai seorang laki-laki, kemudian ia berbicara kepadaku, dan aku hafal apa yang dikatakannya. Aisyah r.a berkata: Sungguh aku telah melihat baginda sewaktu wahyu diturunkan pada hari yang sangat dingin sekali. Ketika wahyu itu disampaikan, dahi baginda dipernuhi keringat (peluh).

3. Dari Aisyah Ummul Mukminin r.a bahawasanya ia berkata: Wahyu pertama yang turun kepada Rasulullah s.a.w adalah mimpi yang benar di dalam tidurnya. Baginda tidak akan bermimpi melainkan mimpinya itu akan menjadi kenyataan seperti terang benderangnya cahaya subuh. Kemudian baginda suka menyendiri. Baginda biasa menyendiri di Gua Hira. Baginda beribadah di sana untuk beberapa malam sebelum baginda rindu kepada keluarga dan mengambil bekal untuk itu. Kemudian baginda pulang ke rumah Khadijah. Baginda mengambil bekal seperti biasanya sampai datanglah kepadanya kebenaran sewaktu baginda ada di Gua Hira. Telah datang kepdanya sesosok malaikat seraya berkata: “Bacalah!” Baginda menjawab: “Sungguh aku tidak boleh membaca.” Ia mengambil dan memelukku sehingga aku merasa lemas. Kemudian ia melepaskanku, lalu berkata: “Bacalah!” Maka aku berkata: “Sungguh aku tidak boleh membaca.” Lalu ia mengambil dan memelukku untuk yang kedua kalinya, kemudian ia melepaskanku lalu berkata: “Bacalah!” Maka aku berkata: “Sungguh aku tidak dapat membaca.” Lalu ia mengambil dan memelukku untuk yang ketiga kalinya, kemudian melepaskanku. Lalu ia membacakan: “Iqra’ bismi rabbikalladzi khalaq,. Khalaqal insaana min ‘alaq. Iqra’ warabbukal akram. Alladzii ‘allama bil qalam. ‘Allamal insaan maa lam ya’lam.” (Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia Mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya).

 

Page 1 of 11
Free WordPress Theme