Sedekah itu tiada merugikan manusia

Suatu hari, anak seorang lelaki miskin yang hidup dari menjual barang-barang dari pintu ke pintu mendapati poketnya hanya tinggal beberapa sen duit sahaja dan dia sangat lapar. Anak lelaki tersebut nekad untuk meminta makanan dari rumah berikutnya. Akan tetapi, anak itu kehilangan keberaniannya saat seorang wanita muda membuka pintu rumah. Anak itu tidak jadi meminta makanan, dia hanya berani meminta segelas air.

Wanita muda tersebut melihat dan berfikir bahawa anak lelaki tersebut pasti lapar. Oleh kerana itu, dia membawakan segelas susu. Anak lelaki itu meminumnya dengan lambat. Kemudian, dia bertanya: “Berapa harga untuk segelas susu ini?” Wanita itu menjawab: “Kamu tidak perlu bayar apa-apa pun. Ibu kami mengajarkan tidak menerima bayaran untuk kebaikan”, kata wanita itu. Kemudian, anak lelaki itu menghabiskan susu tersebut dan berkata: “Dari dalam hatiku, aku sangat berterima kasih kepada kamu.”

Beberapa tahun kemudian, wanita muda tersebut mengalami sakit yang sangat kritikal. Para doktor di kota itu sudah tidak mampu untuk merawatnya. Akhirnya, kes tersebut dirujuk kepada doktor pakar di kota besar di mana ada doktor pakar yang lebih arif tentang penyakit tersebut. Dr. Abdullah dipanggil untuk melakukan pemeriksaan. Ketika dia mendengar kota asal pesakit wanita tersebut, terbit satu pancaran aneh pada kedua belah mata Dr. Abdullah. Dia segera bangkit dan bergegas turun melalui ruang tamu rumah sakit menuju wad pesakit wanita tersebut.

Dengan mengenakan jubah doktornya, dia terus pergi berjumpa pesakit wanita itu. Dia langsung mengenali wanita itu pada sekali pandang. Kemudian, dia kembali ke biliknya dan memutuskan untuk melakukan yang terbaik demi menyelamatkan nyawa wanita itu. Mulai hari itu, dia selalu memberikan perhatian khusus pada kes wanita tersebut. Setelah melalui perjuangan yang panjang, akhirnya dia berjaya merawat wanita itu atas keizinan dari Allah jua. Wanita itu sembuh. Kemudian Dr. Abdullah meminta bahagian akaun hospital untuk mengirimkan seluruh bil biaya rawatan wanita itu kepadanya. Dr. Abdullah melihatnya dan menuliskan sesuatu pada sekeping kertas dan dikepilnya dengan bil rawatan, lalu menghantarnya ke wad wanita yang dirawatnya.

Wanita itu takut untuk membuka sampul bil tersebut. Dia sangat yakin bahawa dia tak akan mampu membayar bil tersebut, walaupun harus mencari duit seumur hidupnya. Akhirnya, dia memberanikan diri untuk membuka sampul dan membaca bil rawatan tersebut. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya pada satu lembaran di bil tersebut. Dia membaca tulisan yang berbunyi: “Telah dibayar semua rawatan bil dengan segelas susu! Yang benar, Dr. Abdullah.”

Air mata kebahagiaan membanjiri mata wanita itu. Dia berdoa: “Ya Allah, terima kasih, bahawa cinta-Mu telah memenuhi seluruh bumi melalui hati dan tangan manusia.”

Nota: Adakalanya, sedekah dan kebaikan di masa lalu dapat menyelesaikan masalah kita di masa yang akan datang.

Dipetik dari: Ustaz Mohd Hanif

2 comments

  1. Allahuakkbar, kisah yang sangat berkesan, apalagi di jaman sekarang ini kita jarang lagi menemukan hal seperti itu.

  2. Alhamdulillah,tlh mendenar cerita diatas kami haya manusia biasa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*