Surah Al-Ikhlas: Wajib baginya syurga!

Firman Allah Taala:

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya.” (Al-Ikhlas, 112:1-4)

Ini adalah suatu surah yang diturunkan kepada Rasulullah di Makkah yang mana surah ini mengandungi ayat-ayat tauhid dan menceritakan secara ringkas akan sifat-sifat utama Allah Taala.

al-ikhlasASBAB TURUNNYA SURAH

Dari Ubay bin Ka’ab, dia berkata: “Orang-orang Musyrik berkata kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Muhammad, sebutkan nasab Rabbmu kepada kami.” Maka Allah Tabaraka Wa Ta’ala menurunkan firman-Nya: ‘(Katakanlah) Dialah Allah yang Maha Esa, Allah adalah Rabb yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu, Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia’.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3287, hasan, Musnad Ahmad, no. 20272)

IA ADALAH SEPERTIGA AL-QURAN

Dari Abu Sa’id Al Khudri bahawa seorang laki-laki mendengar seseorang membaca ‘Qul huwallahu ahad’ (hingga selesai) dengan mengulang-ulangnya. Pada pagi harinya, laki-laki itu menemui Rasulullah shallallallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan hal itu kepada beliau seolah-olah menganggap bacaan itu remeh. Rasulullah shallallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda: “Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, surah itu menyamai dengan sepertiga Al-Quran.” (Sahih Bukhari, no. 4627, no. 6152, Sunan Abu Daud, no. 1249, Sunan An-Nasa’i, no. 985, Musnad Ahmad, no. 10880, Muwatha’ Malik, no. 434)

Imam An-Nawawi berkata dalam riwayat lainnya: “Sesungguhnya Allah membahagi Al-Quran menjadi tiga bahagian. Lalu Allah menjadikan surah ‘Qul huwallahu ahad (Al-Ikhlas)’ menjadi satu bahagian dari 3 bahagian tadi.” Lalu Al-Qadhi mengatakan bahawa Al-Maziri berkata: “Dikatakan bahawa maknanya adalah Al-Quran itu ada tiga bahagian iaitu ia membicarakan (1) kisah-kisah, (2) hukum, dan (3) sifat-sifat Allah. Sedangkan surah ‘Qul huwallahu ahad’ ini berisi pembahasan mengenai sifat-sifat Allah. Oleh kerana itu, surah ini disebut sepertiga Al-Quran dari bahagian yang ada.” (Syarah Sahih Muslim, 6/94)

ALLAH CINTA KEPADA MEREKA

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus seorang lelaki dalam suatu sariyyah (pasukan khusus yang ditugaskan untuk operasi tertentu). Lelaki tersebut ketika menjadi imam solat bagi para sahabatnya selalu mengakhiri bacaan surahnya dengan ‘Qul huwallahu ahad’ (Surah Al-Ikhlas). Ketika mereka pulang, disampaikan berita tersebut kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka beliau bersabda: “Tanyakanlah kepadanya kenapa dia melakukan hal itu?” Lalu mereka pun menanyakan kepadanya. Dia menjawab: “Kerana di dalamnya terdapat sifat Ar Rahman, dan aku senang untuk selalu membacanya.” Mendengar itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Beritahukanlah kepadanya bahawa Allah Ta’ala juga mencintainya.” (Sahih Bukhari, no. 6827, Sahih Muslim, no. 1347)

WAJIB BAGINYA SYURGA

Dari Abu Hurairah, dia berkata: “Aku datang bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu beliau mendengar seorang laki-laki membaca surah Al-Ikhlas, ‘Qul huwallahu ahad, Allahus-samad lam yalid walam yulad walam yakullahu kufuwan ahad’. Rasulullah shallallallahu ‘alaihi wasallam kemudian bersabda: “Wajib baginya.” Aku bertanya: “Apa yang wajib bagi dia wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Syurga.” (Sunan An-Nasa’i, no. 984, Musnad Ahmad, no. 7669, no. 10498, Muwatha’ Malik, no. 435)

Dari Mu’adz bin Anas Al-Juhani bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa membaca ‘Qul huwaallahu ahad’ hingga sepuluh kali, Allah membangunkan istana di syurga baginya.” Umar bin Al-Khattab berkata: “Kalau begitu saya akan memperbanyakkan (bacaan) wahai Rasulullah!” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Istana (di sisi) Allah lebih banyak dan lebih bagus.” (Musnad Ahmad, no. 15057)

Nota: Bila dikatakan wajib masuk syurga, bukan bermakna seseorang itu akan masuk syurga tanpa hisab, ada kalanya masuk syurga selepas dimasukkan terlebih dahulu ke dalam neraka untuk membakar segala dosa-dosa. Semuamasuk syurga dengan rahmat Allah sama ada kita pernah berbuat kebaikan atau kejahatan. Maka hanya Allah yang mengetahui siapa di kalangan hamba-Nya yang memasuki syurga-Nya. Dan surah ini adalah salah satu jalannya kerana surah ini mentauhidkan Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*