Wafatnya Khalifah Abu Bakar As-Siddiq

abu bakarAl-Hafidz Ibnu Kathir berkata: “Abu Bakar As-Siddiq meninggal pada hari Isnin pada malam hari, ada yang mengatakan bahawa Abu Bakar meninggal setelah Maghrib (malam Selasa) dan dikebumikan pada malam itu juga iaitu tepat lapan hari sebelum berakhirnya bulan Jamadil Akhir tahun 13 Hijrah, setelah beliau mengalami sakit selama 15 hari. Pada waktu itu Umar menggantikan posisinya sebagai imam kaum Muslimin dalam solat. Ketika sakit beliau menuliskan wasiatnya agar tampuk pemerintahan kelak diberikan kepada Umar bin Al-Khattab dan yang menjadi jurutulis ketika itu adalah Uthman bin Affan. Setelah surat selesai ditulis, maka segera dibacakan kepada segenap kaum Muslimin, dan mereka menerimanya dengan segala kepatuhan dan ketundukan.”

Tempoh beliau menjadi Khalifah selama dua tahun tiga bulan, dan beliau meninggal pada usia 63 tahun sama dengan usia Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Akhirnya Allah mengumpulkan jasad mereka dalam satu tanah, sebagaimana Allah mengumpulkan mereka dalam kehidupan.

Sebelum wafat, beliau telah mewasiatkan agar seperlima dari hartanya disedekahkan sambil berkata: “Aku akan menyedekahkan hartaku, sejumlah yang Allah berikan dari harta Fai’ kaum Muslimin (harta yang diperoleh kaum Muslimin dari musuh dalam peperangan tanpa melalui peperangan, kerana ditinggal lari oleh pemiliknya).”

Ketika beliau dalam keadaan nazak, ada yang berkata kepadanya: “Mahukah kamu jika kami carikan seorang doktor?” Maka dengan spontan beliau menjawab: “Dia (Allah) telah melihatku dan Dia berkata: ‘Sesungguhnya Aku akan berbuat apa-apa yang Aku kehendaki’.”

Disebutkan bahawa asbab beliau jatuh sakit dan wafat ialah beliau dan Al-Harith -seorang doktor yang masyhur- pernah memakan khazirah (sejenis sup) yang dihadiahkan kepada Abu Bakar, maka setelah memakan daging itu berkata Al-Harith: “Angkatlah tangan anda wahai Khalifah Rasulullah, demi Allah sesungguhnya daging ini telah beracun”, maka Abu Bakar segera mengangkat tangannya, sejak itu keduanya selalu merasa sakit hingga akhirnya keduanya wafat satu tahun kemudian.

Riwayat lain ada yang mengatakan bahawa sebab wafatnya beliau kerana mandi pada waktu malam pada musim sejuk yang bersangatan, yang membuat beliau demam lalu meninggal disebabkan itu.

Dalam keadaan sakit beliau melantunkan sebuah bait syair:

Engkau selalu memberikan khabar duka cita atas kematian kekasihmu
Hingga kini engkaulah yang akan merasakan kematian itu
Banyak orang memiliki cita-cita
Namun kematian jualah yang menghadang segalanya

Ketika sakaratul maut petanda ajal yang akan menjemputnya datang, puterinya Aisyah Ummul Mukminin membacakan sebuah bait syair:

Sesungguhnya tidak guna kekayaan bagi seseorang
Ketika dada terasa sempit dan susah bernafas

Mendengar itu beliau memandang kepada ‘Aisyah radhiyallahu’anha seolah-olah marah dan berkata: “Jangan katakan demikian wahai Ummul Mukminin, namun katakan: ‘Dan datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kaum selalu lari daripadanya.’ (Surah Qaf, 50:19)”

Di antara wasiat beliau kepada Aisyah radhiallahu ‘anha: “Aku tidak meninggalkan harta untuk kalian kecuali haiwan yang sedang hamil, serta hamba yang selalu membantu kita untuk membuat pedang kaum Muslimin, kerana itu jika aku meninggal tolong berikan seluruhnya kepada Umar.” Ketika Aisyah menunaikan wasiat itu kepada Umar maka Umar berkata: “Semoga Allah merahmati Abu Bakar, sesungguhnya dia telah membuat kesulitan (untuk mengikutinya) bagi orang-orang yang menjadi Khalifah setelahnya.”

Ketika Salman Al-Farisi datang menjenguknya, Salman berkata: “Wahai Khalifah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, berikan aku wasiat sebab aku lihat engkau tidak akan dapat lagi melakukannya setelah hari ini.” Maka Abu Bakar menjawab: “Wahai Salman, pasti akan terjadi penaklukan (negeri-negeri kafir) tapi aku tidak pernah mengetahui apa-apa yang engkau peroleh dari bahagianmu kecuali apa-apa yang dapat engkau makan dan engkau masukkan ke dalam perutmu, atau apa-apa yang dapat engkau kenakan di atas punggungmu (pakaianmu) dan ketahuilah sesungguhnya barangsiapa yang dapat mengerjakan solat lima waktu, maka dia telah berada dalam lindungan Allah pada pagi hari mahupun petang harinya, dan jangan sampai engkau membunuh seorang ahli zimmah (orang kafir yang hidup dalam Daulah Islamiyah yang dikenakan pajak dan menerima perlindungan dan keamanan dari orang Islam), maka kelak Allah akan menuntutmu di hari Kiamat dan mencampakkan dirimu dalam keadaan tersungkur dengan wajahmu ke dalam Neraka.”

Ibnu Sa’ad menyebutkan dengan sanadnya dari Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, dia berkata: “Abu Bakar dikafankan dalam dua kain, kain yang berwarna putih, dan satu lagi berwarna lain.” Beliau berpesan: “Sesungguhnya orang yang masih hidup lebih memerlukan kain dari orang yang telah mati, kerana kain kafan hanyalah menutup apa-apa yang akan keluar dari hidung mahupun mulutnya.”

Beliau dimakamkan bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam kamar (Aisyah) dan beliau disolatkan oleh Umar bin Al-Khattab radhiallahu’anhu.

Beliau adalah orang yang pertama diangkat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Amir (ketua) dalam pelaksanaan ibadah haji pertama dalam Islam iaitu pada tahun 9 Hijrah, dan pada tahun berikutnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam baru melaksanakan ibadah haji Wada’. Ketika beliau diangkat menjadi Khalifah, beliau memerintahkan Umar untuk menjadi Amir haji pada tahun 11 Hijrah, dan tahun berikutnya barulah beliau berangkat mengerjakan haji.

Rujukan: Kitab Al-Bidayah Wan-Nihayah: Masa Khulafa’ Ar-Rasyidin, m/s 28-30, oleh Al-Hafidz Ibnu Kathir

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda mengenai Abu Bakar As-Siddiq:

“Sesungguhnya sebaik-baik orang terhadapku dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, kalau saja aku boleh menjadikan kekasih selain Allah, nescaya akan aku jadikan Abu Bakar sebagai kekasihku, namun persaudaraan Islam (sebagai kecintaan) tidaklah tertinggal seberkas cahaya di dalam masjid kecuali melainkan cahaya Abu Bakar.” (Sahih Bukhari, no. 446, Sunan At-Tirmidzi, no. 3593, hasan sahih)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*