Zina: Beberapa kisah pada zaman Rasulullah

Di akhir zaman ini terlalu banyak kes penzinaan berlaku sama ada yang diketahui umum kerana tertangkap ataupun tidak diketahui umum yakni dilakukan secara sembunyi-sembunyi oleh masyarakat. Yang berzina secara sembunyi-sembunyi ini, Allah telah menutup aib mereka dan mereka pula tidak memberitahu akan perbuatan mereka kepada pemerintah untuk dihukum, maka sama ada mereka ini bertaubat lalu taubat mereka diterima Allah atau di akhirat mereka akan diazab kerana dosa zina.

Di zaman Rasulullah juga ada berlakunya zina dan berikut adalah antara kisah-kisahnya yang dapat menjadikan pengajaran buat kita.

1. Taubat wanita penzina

Dari Imran bin Husain, bahawa seorang wanita dari Juhainah datang menghadap kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (pemerintah), padahal dia sedang hamil akibat melakukan zina. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah melanggar hukum, oleh kerana itu tegakkanlah hukuman itu (rejam) ke atasku.”

Lalu Nabi Allah memanggil wali perempuan itu dan bersabda kepadanya: “Rawatlah wanita ini sebaik-baiknya, apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku.” Lalu walinya melakukan pesan tersebut. Setelah itu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk merejam wanita tersebut, maka pakaian wanita tersebut dirapikan (agar auratnya tidak terbuka ketika direjam). Kemudian beliau perintahkan agar dia direjam.

Setelah direjam, beliau mengsolatkan jenazahnya, namun hal itu menjadikan Umar Al-Khaattab bertanya kepada beliau: “Wahai Nabi Allah, perlukah dia disolatkan? Bukankah dia telah berzina?” Beliau menjawab: “Sungguh, dia telah bertaubat kalau sekiranya taubatnya dibahagi-bahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti taubatnya akan mencukupi mereka semua. Adakah taubat yang lebih utama (hebat) daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta’ala secara ikhlas?”

(Sahih Muslim, no. 3209, Sunan Abu Daud, no. 3852)

2. Si bujang berzina dengan isteri orang

Dari Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid Al Juhaniy radhiallahu ‘anhuma bahawa keduanya berkata: “Ada seorang warga Arab datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku bersumpah atas nama Allah kepadamu, bahawa engkau tidak memutuskan perkara di antara kami melainkan dengan Kitab Allah. Lalu lawannya yang tutur katanya lebih baik daripadanya berkata: “Dia benar, putuskan perkara di antara kami dengan Kitab Allah dan perkenankanlah untukku”. Maka Rasululloh shallallahu ‘alaihi wasallam besabda: “Katakan”.

Maka warga Arab itu berkata: “Sesunguhnya anakku adalah buruh yang bekerja pada orang ini lalu dia berzina dengan isterinya maka aku diberitahu bahawa anakku harus direjam. Kemudian aku tebus anakku dengan seratus ekor kambing dan seorang hamba wanita kemudian aku bertanya kepada ahli ilmu lalu mereka memberitahu aku bahawa atas anakku cukup dicambuk (dirotan) seratus kali dan diasingkan selama setahun sedangkan untuk isteri orang ini direjam.”

Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh aku akan putuskan buat kalian berdua dengan menggunakan Kitab Allah. Ada pun seorang hamba wanita dan kambing seharusnya dikembalikan dan untuk anakmu dikenakan hukum cambuk (rotan) sebanyak seratus kali dan diasingkan selama setahun. Ada pun kamu wahai Unais (panggilan bagi Anas bin Malik), esok pagi datangilah isteri orang ini. Jika dia mengaku maka rejamlah dia.” Kemudian Unais mendatangi wanita itu dan dia mengakuinya. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar wanita itu direjam.”

(Sahih Bukhari, no. 2523, no. 6143, no. 6332)

3. Lelaki penzina menyerah diri untuk dihukum

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu mengatakan: “Seseorang mendatangi Rasulullah yang ketika itu sedang berada di masjid. Dia menyeru beliau dan berkata: “Aku telah berzina.” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memalingkan mukanya, namun orang itu mendatangi dari arah mukanya yang lain dan berujar: “Ya Rasulullah, aku telah berzina!” Nabi tetap berpaling, namun orang itu datang lagi dari sebelah muka beliau yang sebelumnya dipalingkan.

Setelah dia bersaksi empat kali atas dirinya, maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memanggilnya dan bertanya: “Apakah kamu mengalami sakit gila?” “Tidak”, jawabnya. “Kamu sudah menikah?” tanya Nabi. “Ya”, jawabnya. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pergilah kalian bersama orang ini, dan rejamlah dia!”

Jabir bin Abdullah berkata: “Aku di antara yang merejamnya, kami merejamnya di tanah lapang. Setelah dia terkena lemparan batu, dia melarikan diri, maka kami menangkapnya di Harrah dan kami tetap merejamnya.”

(Sahih Bukhari, no. 6317, no. 6321, no. 6325)

4. Yahudi ingin menipu Rasulullah akan hukum zina

Dari Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhuma bahawa orang-orang Yahudi (ahli kitab) mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu bercerita bahawa ada seseorang laki-laki dari kalangan mereka dan seorang wanita berzina. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada mereka: “Apa yang kalian dapatkan dalam Kitab Taurat tentang permasalahan hukum zina (rejam)?” Mereka menjawab: “Kami mempermalukan (mengaibkan) mereka dan mencambuk mereka.”

Maka Abdullah bin Salam (bekas seorang Yahudi yang telah memeluk Islam) berkata: “Kalian berdusta. Sesungguhnya di dalam Kitab Taurat ada hukuman rejam. Cuba bawa ke mari kitab Taurat. Maka mereka (membawa dan) membacanya secara saksama lalu salah seorang di antara mereka meletakkan tangannya pada ayat rejam, dan dia hanya membaca ayat sebelum dan sesudahnya. Kemudian Abdullah bin Salam berkata: “Cuba kamu angkat tanganmu”. Maka orang itu mengangkat tangannya, dan ternyata ada ayat tentang rejam hingga akhirnya mereka berkata: “Dia benar, wahai Muhammad. Di dalam Taurat ada ayat tentang rejam”.

Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kedua orang yang berzina itu agar direjam.” Abdullah bin Umar berkata: “Dan aku lihat laki-laki itu melindungi wanita tersebut agar terhindar dari lemparan batu.”

(Sahih Bukhari, no. 3363, no. 4190, no. 6320, no. 6336)

P/s: Ingatlah bahawa Allah akan tetap membalas perbuatan hamba-Nya walau sekecil zarah kebaikan atau keburukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*